Flash Vortex

Bahasa Malaysia Tahun 2

Nota 2


Bahasa Malaysia Tahun 2
Tatabahasa : Kata Seru

Kata seru ialah kata yang digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, sedih, gembira, sakit, hairan, kagum, terkejut dan sebagainya.

Dalam bahasa Melayu, kata seru digunakan untuk membentuk ayat seru.

Kata Seru
Fungsi
Ayat Contoh
Aduh
- sakit
- kagum / hairan
1. Aduh, hebat sekali cara dia meniup serulingnya!
2. Aduh, bingitnya telinga aku mendengar bunyi muzik itu!
Aduhai
- sedih / dukacita
1. Aduhai, malang sungguh masib Si miskin itu!
2. Aduhai, alangkah belasnya aku melihat dia!
Ah
- penolakan / tidak bersetuju / membantah
1. Ah, aku enggan berbincang dengannya!
2. Ah, engkau pun sama dengan dia!
Amboi
- kagum / hairan
1. Amboi, enaknya rasa buah mangga ini!
2. Amboi, kacaknya pemuda itu!
Cis / Cih
- marah
- mengejek / menyindir
1. Cis, memang dasar perempuan pisau cukur!
2. Cih, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong!
Eh
- hairan / terkejut
1. Eh, Leman pun berbaju kemeja T!
2. Eh, kamu pun ada di sini, Manaf!
Hai
- menegur / menyapa
- cuba menarik perhatian
1. Hai, cuba kamu perhatikan wanita di hujung sana itu!
2. “Hai, saya pekerja baru di sini!” kata Talib memperkenalkan dirinya kepada Manan.   
Nah
- menarik perhatian
1. Nah, inilah masa yang paling sesuai untuk ziarah-menziarahi!
2. Nah, terimalah bayaran wang yang kupinjam tadi!
Wah
- kagum / takjub
1. Wah, bergaya sungguh kauhari ini, Dollah!
2. Wah, lazat sungguh hidangan itu tadi!
Wahai
- dukacita
- mendapatkan perhatian
1. Wahai, rakan-rakanku, janganlah membuang masamu dengan sia-sia!
2. Wahai, anak-anakku, janganlah sesekali kamu lupa akan tanggungjawabmu!

Semua ayat seru, tanda serunya mestilah diletakkan di hujung ayat dan bukannya selepas kata seru. Semua ayat seru ditandai dengan tanda seru (!).

Dalam binaan ayat atau penulisan, elakkan daripada melakukan kesalahan penggunaan kata seru seperti yang berikut :

1.(a) Aduhai, cantiknya pemandangan di sini! (X)
   (b) Wah, cantiknya pemandangan di sini! (V)

2.(a) Cis, malang sekali nasib Si buta itu! (X)
   (b) Aduhai, malang sekali nasib Si buta itu! (V)

3.(a) Aduh! sakitnya telingaku ini. (X)
   (b) Aduh, sakitnya telingaku ini! (V)

4.(a) Eh! cikgu kita pun ada di sini. (X)
   (b) Eh, cikgu kita pun ada di sini! (V)

_______________________________________________

Bahasa Malaysia Tahun 2
Tatabahasa : Kata Tanya

Kata tanya ialah kata yang digunakan untuk menanyakan orang, haiwan, benda, masa, tempat, bilangan, hal atau perkara.

Kata Tanya
Fungsi
Ayat Contoh
Adakah
Menanyakan sesuatu soalan yang jawapannya ‘ya’ atau ‘tidak’
1. Adakah ketinggian bangunan FIFA sama dengan ketinggian bangunan ZIZA?
2.” Adakah kamu pernah mengalami kesukaran untuk bernafas sebelum ini?” tanya doktor Zaki kepada Amin.
Apa
Menanyakan binatang, hal, perkara, benda dan benda abstrak
1. “Apa tanda-tanda awal penyakit kusta, doktor?” tanya Mustafa.
2. “Tujuan kamu datang berjumpa dengan saya ini untuk apa, Sidek?” tanya Borhan.
Bagaimana
Menanyakan cara dan keadaan
1. “Bagaimanakah keadaan mangsa kemalangan yang kamu bantu tadi, Tim?” tanya Ali.
2. “Bagaimana cara untuk mengikat tali pada dahan pokok ini?” tanya Amin kepada Cikgu Jamal.
Berapa
Menanyakan jumlah atau bilangan dan harga
1. “Berapakah bilangan anggota tentera yang terlibat dalam operasi itu, ayah?” tanya Azmi.
2. “Jarak dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru berapa km, Malik?” tanya Tan.
Bila
Menanyakan masa atau waktu
1. Bilakah upacara Sukan SEA yang ke-16 itu akan diadakan?
2. “Majlis makan malam itu akan diadakan bila?” tanya Abu.
Kenapa / mengapa
Menanyakan sebab atau alasan
1. “Mengapakah kamu suka mengganggu saya, Rohan?” tanya Anita.
2. “Kenapa begitu ramai orang menuju ke stadium itu?” tanya Yati.
Mana
Menanyakan tempat, benda, orang dan binatang
1. “Di manakah majlis persandingan akan diadakan, Minah?” tanya Aziz.
2. “Kawasan perkelahan itu terletak di negeri mana?” tanya Jun.
Siapa
Menanyakan orang atau manusia
1. “Siapakah yang akan menghadiri majlis itu nanti?” tanya Lim.
2. “Kakak kamu bertunang dengan siapa?” tanya Devi.

Dalam penulisan atau binaan ayat tanya, elakkan daripada melakukan kesalahan penggunaan kata tanya seperti berikut :

1.(a) Berapa jumlah pelajar di dalam kelas ini? (X)
   (b) Berapakah jumlah pelajar di dalam kelas ini? (V)
 
2.(a) Anggota polis yang dirempuh lori itu siapakah? (X)
   (b) Anggota polis yang dirempuh lori itu siapa? (V)
 
3.(a) Buah nangka itu masih mudakah? (X)
   (b) Buah nangka itu masih muda? (V)

4.(a) Khalid terlupa di mana dia meletakkan pennya itu. (X)
   (b) Khalid terlupa tempat dia meletakkan pennya itu. (V)

5.(a) "Bila wang saya sudah banyak, saya akan membuka perniagaan sendiri," kata Zul. (X)
   (b) "Apabila wang saya sudah banyak, saya akan membuka perniagaan sendiri," kata Zul. (V)


_______________________________________________


Bahasa Malaysia Tahun 2
Tatabahasa : Tanda Baca

Tanda baca ialah tanda yang digunakan dalam penulisan atau binaan ayat. Penggunaan tanda-tanda baca ini penting untuk menentukan maksud, menulis ayat, membina ayat dan membaca ayat.

Tanda Baca
Penggunaan
Contoh Penggunaan
Huruf besar
- menulis kata nama khas
- menulis pangkal kata permulaan ayat
- menulis pangkal kata permulaan selepas tanda noktah
1. Ibu Salmah bekerja di Kementerian Dalam Negeri.
2. Kereta bapa saya sentiasa kelihatan baru dan cantik.
3. Kata Aziz, “Hidung saya berdarah sejak semalam.”
4. Jambatan itu sempit. Jambatan itu akan dirobohkan tidak lama lagi.
Tanda noktah
(.)
- menulis kata singkatan
- menandakan berakhirnya sesuatu ayat penyata
1. T.N.B. (Tenaga Nasional Berhad)
2. Kereta itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.
Tanda koma
(,)
- mengasingkan frasa dalam ayat
- mengasingkan perkataan-perkataan yang sama dalam ayat
- menulis ayat cakap ajuk
1. Oleh sebab terlalu marah, dia gagal mengawal perasaannya.
2. Cengal, meranti, jati dan nyatuh ialah jenis kayu yang baik untuk dibuat perabot.
Tanda soal
(?)
- menandakan ayat tabya atau ayat soal
1. Siapakah gadis yang berbaju kurung itu?
2. Mereka tinggal di mana?
Tanda seru
(!)
- menulis ayat seru
1. Wah, besarnya buah labu itu!
2. Eh, Abu pun menyertai pertandingan pidato itu!