Flash Vortex

Bahasa Malaysia Tahun 2

Wednesday 7 December 2011

Permainan Rakyat

Bahasa Malaysia Tahun 2 
Unit 7 : Warisan Kita
Permainan Rakyat

          Permainan rakyat berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Perkara utama yang menjamin kesinambungan permainan rakyat pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Masih terdapat permainan ini yang dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan ini ialah congkak, wau, batu seremban, cari cucu, gasing dan lain-lain. 


Batu seremban
          Batu Seremban sering dimainkan di waktu lapang. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan sama ada secara individu atau berpasangan seramai dua hingga empat orang atau lebih.
          Biasanya ia menggunakan guli kaca, biji getah, ketul batu yang kecil atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat. Bilangan yang biasa digunakan sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.




Gasing
          Gasing popular di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, terutama di Kelantan. Terdapat pelbagai jenis gasing di Malaysia seperti gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang. Kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.


Wau
          Permainan wau ini juga dikenali dengan layang-layang. Permainan wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini dimainkan sejak kurun ke-15. Wau masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis pada masa kini.



Congkak  
          Permainan congkak ialah sejenis permainan Melayu tradisional yang digemari oleh kaum wanita dan kanak-kanak. Permainan ini memerlukan dua orang pemain. Alatan yang digunakan dalam permainan ini adalah papan congkak dan buah congkak. Kadang-kadang sebagai ganti papan congkak, lubang-lubangnya dibuat di atas tanah. Sementara biji-biji congkak pula ialah guli-guli kaca, buah getah, biji saga, batu-batu kecil dan sebagainya. Papan congkak mengandungi 14 lubang yang dipanggil "kampung". Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil "rumah".



Cari cucu
          Permainan Mencari Cucu merupakan permainan tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak di luar rumah. Ianya dimainkan oleh beberapa orang dengan jumlah yang ramai. Halaman rumah atau tempat lapang merupakan gelanggang yang sering digemari oleh mereka. Dalam permainan ini terdapat sebuah lagu khas yang didendangkan. Sehelai sapu tangan atau kain untuk menutup mata dan sebatang kayu tongkat diperlukan sebagai alat.



Galah panjang
          Permainan galah panjang merupakan permainan tradisional yang dimainkan di luar rumah. Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan yang terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.



Ting ting
          Permainan ting ting merupakan permainan tradisional yang sering dimainkan oleh kanak-kanak perempuan. Ini mungkin disebabkan permainan yang tidak begitu lasak serta tidak memerlukan tenaga yang banyak dan ianya memerlukan pemerhatian di gelanggang yang agak kecil sahaja. Ting ting dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak terdiri dari dua hingga empat orang setiap gelanggang, tiada peraturan tetap dengan jumlah pemain bagi setiap gelanggang. Sekiranya melebihi dari empat pemain dalam satu gelanggang, ianya akan mendatangkan kesukaran bagi setiap pemain untuk berting ting.



          Kesimpulannya, kemajuan teknologi telah membuatkan hilangnya warisan yang dulunya sangat dibanggakan. Tetapi, adakah kita sedar yang sebenarnya permainan rakyat yang kita warisi sejak dulu lagi semakin lama semakin dilupakan dan hilang bersama dengan peredaran zaman. Yang sedihnya ada di kalangan anak muda sekarang tidak mengenali permainan-permainan tradisional tersebut seperti congkak, layang-layang, gasing, wau dan sebagainya. Banyak faedah yang boleh diperolehi dari permainan tradisional seperti boleh mengeratkan silaturahim sesama manusia, menyihatkan badan kerana mengeluarkan peluh dan dapat memelihara warisan budaya zaman berzaman. Selain itu, negara kita dapat mempromosikan permainan tersebut sebagai salah satu aktiviti yang perlu diperkenalkan kepada pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia. Ia juga akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sendiri. Malangnya anak Malaysia tidak memikirkan tentang perkara tersebut. Mereka hanya inginkan keseronokan dan mengikuti segala perubahan teknologi terkini sehingga melupakan warisan yang perlu dijaga juga. Oleh itu, remaja boleh mengikuti dan meneruskan permainan berteknologi tapi pada masa yang sama masih lagi memelihara dan pertahankan warisan nenek moyang.



No comments:

Post a Comment